Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ADUAN PPIM-Pewaris Buat Laporan Polis Nasi Lemak Guna Logo Tanda Halal Palsu
16 Jan 2011

Foto ihsan : Kosmo Online 16 Januari 2011

GEORGE TOWN, 15 Jan (Bernama) — Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) pada Sabtu membuat laporan polis berhubung tindakan sebuah syarikat pengeluar nasi lemak bukan lslam di Juru yang didakwa menggunakan logo halal palsu.

Presiden Pewaris negeri Sabaruddin Ahmad berkata berdasarkan aduan dan maklumat orang ramai, nasi lemak itu dijual di sekitar Pulau Pinang.

Beliau berkata nasi lemak itu dipercayai dijual kawasan perumahan serta kilang sekitar Pulau Pinang terutamanya kawasan Jalan Tengah, Bukit Jambul, Kampung Jawa, Bayan Baru dan George Town.

“Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana ia mengganggu sensitiviti orang Islam. Tidak kisah bangsa apa sekalipun, sekiranya ia mempunyai tanda halal yang diiktiraf, kita boleh terima.

“Sebaliknya ini jelas menunjukkan tanda halal nasi lemak itu palsu dan bukannya dikeluarkan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia),” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Baru, di sini.

Beliau menggesa Jakim dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Abdul Malik Abul Kassim supaya memantau logo halal yang digunakan oleh pengusaha di negeri ini bagi mengelak kekeliruan di kalangan umat Islam.

Kira-kira 100 orang berkumpul di hadapan balai polis berkenaan untuk membantah tindakan pengusaha berkenaan.

— BERNAMA
PPIM : Jangan sewenang-wenangnya menyalahgunakan tanda dan logo halal kerana boleh menimbulkan keraguan khususnya di kalangan pengguna Islam. Pengguna Islam hanya mengiktiraF logo halal JAKIM.